PENGENALAN
Dalam melangsungkan proses pengajaran dan pembelajaran, sudah pastinya wujud kesukaran atau halangan dalam kalangan guru untuk menyampaikan intipati sesebuah topik mata pelajaran kepada murid-muridnya. Hal ini disebabkan oleh kewujudan murid yang terdiri daripada pelbagai agama dan kepercayaan, latar belakang suku kaum etnik, bahasa dan loghat, serta struktur dan kelas sosial. Malah, murid juga memiliki tahap kemampuan yang berbeza antara satu sama lain. Contohnya, setiap murid mempunyai kelebihan mahupun kekurangan masing-masing.
Guru memerlukan sesuatu bagi memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran tersebut dilangsungkan. Oleh itu, guru disarankan untuk membina bahan bantu mengajar yang mampu membantu murid-murid untuk memahami pengajaran yang ingin disampaikan. Sebelum bahan bantu mengajar tersebut dibina, guru haruslah menyusun dan merancang aktiviti-aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang ingin mereka laksanakan di dalam kelas. Setelah itu, guru hendaklah membina bahan bantu mengajar berdasarkan kesesuaian agar bahan tersebut mampu memainkan peranan ke arah peneguhan dan pemahaman pelajar.
DEFINISI BAHAN BANTU MENGAJAR
Secara umumnya, bahan bantu mengajar ialah segala kelengkapan yang digunakan oleh guru untuk membantu murid-muridnya dalam menyampaikan pengajaran di kelas ketika sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Bahan bantu mengajar mestilah bahan yang boleh dilihat, didengar, dipegang, dibaca, dikisahkan, dirasai, dihidu, digunakan dan sebagainya.
Menurut Mohd. Aris bin Othman, Hajah Siti Fatihah binti Abdullah dan Hajah Asmah binti Abd. Rahman (2004), melalui penggunaan bahan bantu mengajar dalam sesi pengajaran dan pembelajaran, pelajar bukan sahaja boleh nampak pergerakan yang dilakukan tetapi pelajar juga dapat memperbaiki kesalahan yang dilakukan semasa menjalankan aktiviti tersebut. Keadaan ini akan menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih bertenaga dan dapat menarik minat pelajar untuk belajar sesebuah mata pelajaran tersebut.
Menurut Mok Soon Sang (1991) pula, bahan bantu mengajar merupakan bahagian yang terpenting dalam membantu guru bagi melicinkan dan melancarkan pengajaran dalam usaha memudahkan pelajar memahami konsep dan isi serta fakta dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Noraziah Abdul Hamid (1981) turut berpendapat bahawa “alat bantu“ itu mestilah dianggap sebagai satu bahagian yang padu dalam proses tersebut. Ia bertujuan untuk menambah kelancaran perhubungan diantara seorang guru dan murid-muridnya dan sebaliknya iaitu murid sesama murid. Bahan bantu mengajar turut dapat membantu atau mempercepatkan proses pemahaman murid-murid.
Akhir sekali, Zuraidah Abd. Razak (1988) menyatakan bahawa bahan bantu mengajar ialah sebarang bahan atau alat yang digunakan dalam bilik darjah mahupun di luar bilik darjah seperti Dewan atau Pusat Sumber sekolah untuk membantu, menyokong dan meneguhkan serta melengkapkan pengajaran guru.
Terdapat beberapa jenis bahan bantuan mengajar dalam pengajaran bacaan sama ada di sekolah menengah atau sekolah rendah. Bahan bantu mengajar boleh dikategorikan kepada tiga kategori yang terdiri daripada pelbagai jenis iaitu bahan bantu mengajar bukan elektronik, bahan bantu mengajar elektronik dan bahan-bahan bercorak pengalaman dan bahan sebenar.
Bahan bantu mengajar bukan elektronik
Bahan bantu mengajar bukan elektronik terdiri daripada papan tulis, buku teks serta papan pamer atau papan buletin. Bahan bantu mengajar jenis ini dapat memperkenalkan idea baru, memberi maklumat, memberi kefahaman, memperkayakan perbendaharaan kata, merangsang perbincangan, menimbulkan daya kreativiti, membentuk sikap dan nilai serta menambah pengekalan pembelajaran seseorang pelajar. Selain itu, fail tegak dan bahan bacaan juga merupakan bahan bantu mengajar bukan elektronik. Bahan ini terdiri daripada bahan-bahan cetak iaitu bahan bacaan bukan buku seperti majalah, kalendar, poskad, surat khabar, risalah atau bulletin, poster, sampul hari pertama, buku panduan, carta, peta dan gambar skrip, kertas kerja dan nota. Tidak dilupakan, gambar juga merupakan bahan bantu mengajar bukan elektronik.
Seterusnya ialah kad imbasan dan kad cantuman. Kad imbasan ini terdiri daripada kata-kata atau rangkai kata yang diberi makna dibelakangnya. Hal ini bertujuan untuk memperkenalkan perkataan-perkataan baru kepada pelajar. Sementara itu, kad cantuman pula dibentuk dengan menulis perkataan dan rangkai kata di atas kad dan rangkai kata yang dikehendaki. Pada masa yang sama, carta dqn grafik juga dikategorikan sebagai salah satu bahan bantu mengajar yang boleh digunakan dalam proses pembelajaran dan pengajaran di sekolah.
Di samping itu, papan pengajaran juga adalah bahan bantu mengajar. Bahan ini berguna untuk menunjukkan gambaran sesuatu pelajaran yang mempunyai daya komunikatif dan seterusnya dapat merangsang serta memotivasikan pelajar untuk terus belajar. Misalnya, papan flannel. Papan ini adalah sekeping papan plywood yang dialaskan dengan kain flannel bagi meletakkan gambar-gambar dank ad-kad maklumat. Papan ini mudah alih dan mudah dibawa. Tambahan lagi, di belakang papan flannel dipasangkan sebatang kayu bersama engsel serta cangkuk penyelak supaya papan ini boleh berdiri. Model tiga dimensi juga sebahagian daripada bahan bantu mengajar. Patung ataupun model yang berbentuk orang, binatang dan tumbuh-tumbuhan yang diperbuat daripada kain, kapas, tanah liat dan kertas rendaman juga merupakan bahan bantu mengajar bukan elektronik.
Bahan bantu mengajar berbentuk elektronik.
Overhead Projektor (OHP) merupakan bahan bantu mengajar elektronik yang pertama. Bahan ini menggunakan sistem pembalikan cahaya daripada satu sumber (halogen) ke permukaan cermin dan seterusnya membalikkan cahaya tersebut ke skrin. Cahaya yang terlindung akan membentuk imej di atas skrin. Antara contoh bahan mengajar elektronik yang lain ialah transparensi OHP, pita slaid (filem slaid), radio, televisyen dan VCR (Video Cassete Recorder), alat rakaman, filem tayang atau filem jalur dan juga komputer. Semua bahan ini dapat membantu untuk melancarkan pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan oleh seorang guru di dalam kelas.
Bahan bercorak pengalaman dan bahan sebenar dari alam sekitar.
Bahan-bahan yang bercorak pengalaman adalah seperti lakonan, pantomin, lawatan dan projek pameran. Bahan sebenar daripada alam sekitar atau disebut juga sebagai ‘realia’ iaitu merupakan benda semulajadi. Bahan ini dikelaskan dalam bahan jenis tiga dimensi dan dibahagi kepada beberapa kumpulan iaitu benda bukan hidup, benda buatan, tumbuh-tumbuhan dan benda hidup.
SEBAB BAHAN BANTUAN MENGAJAR DIPERLUKAN
Penggunaan teknologi moden yang berkembang seiring dengan perubahan zaman telah mengubah tamadun manusia. Teknologi moden dimanfaatkan dalam sistem pendidikan menjadikan usaha untuk meringkas dan mempermudahkan Bahan Bantuan Mengajar (BBM) agar membantu kanak-kanak baru masuk persekolahan memahami pengajaran guru menurut Ahmad Kilani (2005). Kenyataan ini telah disokong oleh Kamarul Azmi dan Abdul Halim (2007) yang mengatakan bahawa keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran dapat dipertingkatkan dengan mempraktikkan penggunaan BBM.
BBM diruntun untuk proses pengajaran dan pembelajaran bagi membantu para guru meningkatkan keupayaan kompetensi guru. Kredibiliti seorang guru dinilai berdasarkan keupayaan guru mengendalikan bilik darjah yang meruntun guru lebih kreatif dan inovatif untuk menjadikan proses pengajaran lebih efektif, menarik dan menyeronokkan bagi pelajar. BBM membantu guru membuat pernilaian semula terhadap pengajaran dan pendekatan pembelajaran antara guru dan pelajar di dalam bilik darjah.
Selain itu, BBM dirangka dalam pengajaran agar guru mampu merangsang dan menyuntik minat pelajar terhadap gaya penyampaian guru dalam bilik darjah. BBM dapat mengelakkan pelajar berasa bosan dan mengantuk ketika guru menyampaikan ilmu. Variasi kaedah pengajaran melalui bantuan BBM menjadikan suasana pengajaran dan pembelajaran lebih ceria malahan pelajar akan lebih bersemangat untuk belajar.
Di samping itu, BBM dapat membantu guru untuk memudahkan pengajaran guru dan memberi rangsangan, motivasi dan minat untuk pelajar. Terutamanya bagi guru yang mengajar kelas pemulihan dan peralihan. BBM membantu guru pemulihan untuk membantu pelajar menguasai kemahiran membaca dan secara langsung akan meningkatkan pencapaian akademik dalang kalangan pelajar-pelajar pemulihan. Bahan bantuan mengajar membantu guru untuk mengajar lebih selesa dan
menggalakkan. Hal ini demikian kerana pelajar dapat menerima dengan jelas pengajaran guru. BBM menyumbang kepada proses pengajaran dan pembelajaran
lebih berkesan. Pelajar juga akan merasa seronok untuk terus belajar melalui BBM kerana kelainan yang ditunjuk oleh guru.
Guru harus memainkan peranan penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran kepada pelajarnya. Oleh itu, adalah tanggungjawab guru untuk mendidik pelajarnya sebaik yang mungkin. Setiap pelajar memiliki psikolgi dan kebolehan intelek yang berbeza. Guru harus menyusun pengajaran mengikut kesesuaian pelajar-pelajar. Misalnya, pelajar sekolah teknikal yang akan lebih tertarik dengan BBM yang tidak membosan dan sentiasa membuat pelajar memiliki perasaan ingin tahu seperti bahan bercetak, poster dan LCD projector.
BBM merupakan elemen penting untuk proses pengajaran dan pembelajaran. Penggunaa BBM dapat menyalurkan maklumat kepada pelajar mengenai intipati pembelajaran berkaitan dengan mata pelajaran yang diajar dengan lebih jelas, sistematik dan terperinci. BBM juga membantu pelajar lebih memahami topic dengan lebih mendalam dan realistik.
Seterusnya, BBM diperlukan dalam proses pengajaran dan pembelajaran untuk mengetengahkan konsep. Maknanya, pelajar mampu melihat sendirimtunjuk cara dan bahan bantu mengajar yang digunakan oleh guru semasa menyampaikan pengajaran di bilik darjah. Pengajaran guru akan lebih mudah dnegan bantuan bahan bantuan mengajar sekiranya bahan tersebut bersesuaian dengan tajuk yang diajar. BBM turut membantu sebagai penggalak dalam penyampaian pelajaran kepada pelajar dan objektif pengajaran akan tercapai.
KESIMPULAN
Kesimpulannya, guru harus bersikap positif dalam mempelbagaikan penggunaan bahan bantu mengajar untuk meningkatkan lagi minat belajar kepada pelajar. Selain itu, ia juga dapat memberi kesedaran dan dorongan kepada guru supaya menggunakan bahan bantu mengajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran serta memberi panduan dan kesedaran kepada guru tentang kepentingan menggunakan bahan bantu mengajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran kerana teknik pengajaran dan pembelajaran bagi seorang guru bukan sekadar chalk and talk tapi lebih dari itu. Dalam pendidikan banyak inovasi diperkenalkan bagi memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran guru. bahan bantu mengajar memudahkan para guru memindahkan ilmu pengetahuan kepada pelajarnya. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab guru untuk menggunakannya dengan sebaik mungkin bagi membantu kefahaman pelajar-pelajarnya tentang konsep dan ilmu pelajaran yang hendak disampaikan menggunakan bahan bantu mengajar yang boleh menarik minat pelajar dan menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran tidak membosankan selaras dengan teknik pengajaran pada abad ke-21.
No comments:
Post a Comment